[NASYID KONTEMPORARI YANG MEMATIKAN SEMANGAT BERJUANG]
Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh.
Alhamdulillah dengan izin Allah, Saifulislam Online telah selamat saya pindahkan ke server baru. Asal tujuan, semata-mata untuk membolehkan saya menempatkan koleksi mp3 nasyid alternatif kepada nasyid lain yang sedia ada di halaman-halaman yang lain. Sebagaimana yang telah saya jelaskan di halaman [ Nasyid ], banjiran dendangan nasyid-nasyid yang ada di pasaran hari ini seasalnya patut menjadi alternatif kepada gejala hiburan melampau yang wujud di dalam masyarakat. Tetapi entahlah, semenjak kemunculan kumpulan nasyid komersil menjelang tahun 2000, hari demi hari menyaksikan nasyid terpaksa mengikut kehendak arus yang sedia ada, dan bukan lagi cuba membentuk arus baru yang dikehendaki oleh Islam.Di zaman nasyid berkompang pada akhir 80an hingga pertengahan 90an, kaset-kaset RM4 yang dijual di kawasan ceramah, di sekolah-sekolah agama dan kedai-kedai buku sambil menunggu bas ekspres pulang ke kampung itu, mengandungi himpunan lagu yang menguatkan semangat untuk berjuang. Malah daripada nasyid itu kita boleh mempelajari tentang perkembangan perjuangan gerakan yang didokongi oleh kumpulan berkenaan. Lihat sahaja Nadamurni, nasyid seperti Musafir Kelana, Kawan, dan kaset Selamat Tinggal Duniaku yang agak kontroversi kerana didendangkan oleh Muslimat mereka, mencerminkan era pembinaan jemaah al-Arqam. Kemudian terbit pula kaset Rindu, Munajat dan sehinggalah kepada Pulang Abuya Pulang, memahamkan kepada kita tentang apa yang berlaku kepada perjuangan mereka. Saya tidaklah berhasrat untuk memberikan komen tentang isi kandungan nasyid-nasyid itu. Album Cahaya di Ufuk Timur yang memuatkan muqaddimah fikrah Pemuda Bani Tamim dan Imam Mahdi itu telah difatwakan haram oleh beberapa tokoh di tempat saya belajar di Jordan, bilamana ia dipertimbangkan daripada kaca mata Al-Quran dan penjelasan sebenar Hadith-hadith yang sahih. Namun yang ingin saya pertekankan adalah nasyid di zaman berkenaan adalah nasyid fikrah, nasyid dakwah, nasyid bermesej dan nasyid yang membangkitkan semangat berjuang.KEMUNCULAN AL-WADI DI MESIRBegitu juga kita semua terhibur dengan kemunculan kumpulan Usrah al-Wadi oleh pemuda-pemuda yang menuntut di Universiti al-Azhar. Kaset pertama mereka, saya pun tidak pasti sangat apa tajuknya, dirakamkan di dalam bilik sahaja. Kalau tidak silap saya tajuknya ialah "Di Manakah Silapnya". Ketika itu saya masih di Tingkatan Empat 1991. Nasyid-nasyid yang mereka dendangkan dengan penuh makna itu banyak menyumbang kepada pembinaan fikrah dan diri. Sehingga ia seakan-akan menjadikan saya lebih tua dari usia sebenar. Lagu Wasiat Sayyid Qutb yang asal sebelum dirakamkan semula di dalam album keempat mereka "Islam Penyelesaian" sangat menyentuh hati. Begitu juga dengan lagu Di Manakah Silapnya yang menceritakan tentang perpecahan menjadi punca kejatuhan Ummah sangat berkesan kepada diri. Selepas album pertama itu, muncul pula album kedua edisi terhad yang diterbitkan sebanyak 500 unit sahaja jika saya tidak tersilap. Iaitu kaset sempena Hari Raya Aidilfitri. Di antara lagu yang sangat saya kenangkan adalah "Anak Kecil di Palestin" yang turut saya dan penyanyi utamanya persembahkan di hadapan Sultan Perak di Dewan DBI, Ipoh sempena pertandingan Nasyid Peringkat Negeri Perak pada tahun 1992. Semua orang terpegun dengan mesej tajam yang disampaikan bilamana nasyid kami anti
klimaks. Orang lain sibuk mendendangkan nasyid goyang kepala dengan baju-baju yang menyilaukan mata, tiba-tiba kami dendangkan nasyid rintihan seorang anak kecil di Palestin yang meratapi kematian ibunya di pagi Aidilfitri oleh kekejaman regim Yahudi.Begitulah seterusnya terbit album Kepimpinan Ulama, Islam Penyelesaian, Fajar Lebaran dan Belenggu Fatamorgana yang bila mendengar isi kandungannya, seakan-akan mendengar berita al-Jazirah! Ada nasyid tentang Bosnia, Tragedi Natrah, Masjid Babri, Kashmir, Afghanistan dan segala krisis umat Islam disentuh. Akhirnya nasyid Membangun Bersama Islam dan Islam Penyelesaian menjadi konklusi kepada semua tragedi tersebut. Begitu juga dengan nasyid Ideologi dendangan Dr Jamnul Azhar yang menyebabkan ramai ternganga. Nasyid itu dengan penuh sarcastic menyindir golongan sekular yang sangsi dengan Islam, dan lebih selesa dengan teori Niccolo Machiavelli.
Tuesday, March 11, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment